Monday, August 15, 2011

Panduan memilih warna rambut yang sesuai


Terdapat dua kumpulan individu yang mewarnakan rambut mereka iaitu yang ingin menyembunyikan uban dan mereka yang mahu memperbaharui penampilan diri.


Rambut umpama mahkota wanita. Potongan rambut yang menarik bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan diri, tetapi apabila digayakan dengan pakaian yang sesuai, menyerlahkan lagi penampilan diri.
Namun warna rambut juga kini mampu menjadi nilai tambah kepada penampilan dan keyakinan wanita.
Malah, mewarna rambut juga boleh menyerlahkan lagi pelbagai potongan rambut.

Warna rambut yang baik bukan sahaja sedondon dengan penampilan dan profil diri, tetapi juga menambah kilauan, drama dan keseronokan pada gaya rambut.


Terdapat dua kumpulan individu yang mewarnakan rambut mereka iaitu yang ingin menyembunyikan uban dan mereka yang mahu memperbaharui penampilan diri.

Ini untuk mengelakkan anda kecewa dengan hasil yang diberikan ataupun sebarang kerosakan rambut yang mungkin berlaku.

Secara amnya, antara faktor yang menentukan pemilihan warna rambut termasuk padanan warna yang dipilih dengan warna mata dan ton kulit.

Terdapat beberapa jenis pewarna rambut yang boleh anda pilih mengikut keperluan dan gaya hidup anda. Ia termasuklah:


Pewarna sementara
Ia hanya akan melapisi bahagian luar rambut dan akan hilang selepas satu atau dua cucian. Ia adalah pilihan yang baik bagi individu yang mahu mencuba warna yang berbeza.
Pewarna separa kekal
Pewarna separa kekal merupakan pilihan jangka masa pendek yang akan bertahan lebih lama berbanding pewarna sementara. Warna biasanya bertahan untuk beberapa bulan dan akan hilang secara semula jadi tanpa meninggalkan bahagian akar rambut yang memalukan.
Pewarna kekal

Pewarna ini memberikan perubahan yang berkekalan terhadap pigmen rambut. Ia tidak boleh hilang melalui cucian seperti yang terdapat pada pewarna sementara.
Kandungan amonia dan peroksida mengangkat dan memindahkan pigmen warna baru ke bahagian dalam rambut.

Warna akan hilang mengikut peredaran masa tetapi tidak boleh dikeluarkan dengan mudah untuk 'menghidupkan semula' warna semula jadi rambut.

Sama ada anda mewarna sendiri rambut di rumah ataupun melakukannya di salon, pastikan anda membuat ujian kulit terlebih dahulu untuk melihat kemungkinan berlaku sebarang reaksi alahan terhadap produk yang digunakan.

Tip mewarna rambut:
* Semasa anda memilih warna baru, lakukannya dalam bilik yang mempunyai pencahayaan yang baik atau di luar. Ini dapat membantu anda memilih dengan lebih baik dan agar anda berpuas hati dengan hasil yang dipilih.

* Adalah baik sekiranya anda tidak memilih warna yang lebih daripada dua ton.
* Untuk rambut beruban, gunakan warna yang lebih gelap berbanding warna yang digunakan di bahagian lain di kepala.
* Pewarna rambut juga berasaskan bahan kimia. Sekiranya anda hamil, dapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum mewarnakan rambut anda.

* Jangan cuba mewarna rambut yang berinai atau yang telah terdedah dengan pewarna metalik. Inai adalah pewarna rambut berasaskan organik dan tidak bercampur dengan baik bersama bahan kimia.

* Elakkan daripada berenang di kolam renang dan laut selepas mewarnakan rambut anda. Air laut dan klorin tidak bertindak balas dengan baik dengan rambut yang diwarnakan. Dalam sesetengah kes, sekiranya anda menggunakan warna yang terang, klorin boleh menyebabkan rambut anda kelihatan kehijauan.

* Sekiranya anda tidak pasti sama ada warna yang dipilih sesuai dengan rambut anda, lakukan ujian terhadap beberapa helai rambut. Ujian ini juga mampu menunjukkan sama ada terdapat kerosakan pada rambut anda.

* Jangan cuba memperbaiki rambut yang diwarnakan dengan sendirinya. Anda mungkin memburukkan lagi keadaan. Bertemulah pewarna rambut atau pendandan rambut profesional untuk memperbaiki keadaan. Ini mungkin menjimatkan masa dan juga kos.

* Kit mewarna rambut di rumah amat sesuai bagi mereka yang sibuk dan mahu menjimatkan kos pewarna profesional.

* Sekiranya anda mewarna sendiri rambut, mulakan daripada bahagian atas kepala atau di bahagian belakang leher, di mana warna semula jadi rambut adalah paling gelap.

* Pilih produk mewarna rambut yang sesuai dengan gaya hidup anda. Jika anda tidak mempunyai masa untuk mewarnakan akar rambut setiap empat sehingga enam minggu, anda mungkin mahu memilih warna rambut yang hanya satu sehingga tiga kali lebih terang daripada warna semulajadi rambut. Paling hampir warna yang dipilih dengan warna semula jadi, lebih kurang jelas akar rambut baru yang menonjol.

* Gunakan syampu penyerlah warna untuk menyerlahkan dan mengekalkan warna rambut. Syampu ini direka khas untuk mengekalkan 'kesegaran' warna rambut selama yang mungkin. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan syampu tersebut, sekurang-kurangnya menggunakan syampu lembut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...